Jumaat, 16 Disember 2011

Pengalaman seorang wanita mula memeluk Islam...


BREDA, Belanda (Reuters) – Rabi’a Frank, seorang wanita Belanda yang berumur 31 tahun telah memeluk Islam pada tahun 1994. Nama asalnya ialah Rebecca.

Beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Muslim yang berasal dari Morocco tetapi dibesarkan di Belanda. Mereka dikurniakan 3 orang anak lelaki.

Pada tahun 2005 Rabi’a mula memakai Niqab yang menutupi muka. Beliau merupakan salah seorang daripada 50 wanita di Belanda yang berbuat demikian (mengikut anggaran komuniti Muslim Belanda).

Seramai hampir 1 milion Muslim menetap di Belanda. Mereka membentuk 5.4 peratus populasi masyarakat Belanda, negara Eropah kedua tertinggi yang mempunyai penduduk Muslim selepas Perancis.

Peramah dan sungguh bersemangat, itulah yang dapat digambarkan tentang Rabi’a apabila ditemuramah oleh Reuters di rumahnya.

“Saya tertarik dengan Islam sewaktu muda… apabila anda muda tiada apa yang pelik, semua kita nak kenal dan cuba . Teman lelaki saya berbangsa Morocco . Pada mulanya saya hanya nak mendalami budaya dan adat resam dia. Saya merujuk buku-buku tentang Morocco di perpustakaan dan dari situ saya terbaca tentang Islam. Saya baca senyap-senyap sebab tak nak teman lelaki saya fikir yang saya buat semua tu kerana dia.

“Pertama kali saya baca Quran ialah Quran dalam terjemahan bahasa Belanda dan ia terus menyentuh hati dan perasaan saya. Saya rasa tenang bila bacanya, rasa bagus, saya boleh kaitkan diri dengannya dan boleh memahaminya. Ia benar-benar menyentuh perasaan saya.”

“Saya dapat tahu tentang sebuah pusat Islam di Hague dan saya ke sana setiap minggu. Kemudian suatu hari imam tanya saya samada saya mahu ikut rakan-rakan lain yang mahu mengucap kalimah Shahadah. Saya telan air liur..Cepatnya, ‘saya terfikir’. Saya rasa banyak lagi yang perlu saya belajar tapi akhirnya saya bersetuju”.

“Saya ingat, pada hari mengucap kalimah Shahadah, saya memakai hijab yang buruk, saya ambil sahaja mana yang ada dalam almari. Selepas mengucap saya tak berhenti menangis. Ia merupakan saat yang sungguh bermakna bagi saya.

Apabila ibu mendengar tentang peristiwa saya memeluk Islam dia bergegas ke bilik saya sambil menjerit dan menangis: “ Kenapa awak buat begitu, apa yang awak fikirkan? Memang keadaan pada waktu itu sangat teruk. Saya berkata dalam hati: “Disebabkan reaksi yang beginilah saya tak mahu beritahu ibu.”

“Memakai hijab merupakan satu pembebasan bagi saya. Setiap hari saya terpaksa lalu di hadapan bangunan yang sedang dibina dan pekerja-pekerja di situ akan mengusik saya. Tetapi pada pagi saya memakai hijab saya melalui kawasan itu mereka tidak mengusik saya seperti sebelumnya.

“Pada waktu itu saya rasa sungguh gembira, sambil memikirkan, ‘Akhirnya, inilah diriku yang sebenar’. Walaubagaimanpun ada sebahagian daripada diri saya yang ingin sekali menyatakan “Hei, tengok, Aku masih gadis yang sama di sebalik hijab ini.”

“Saya mengambil masa bertahun-tahun untuk belajar mengikat hijab. Sewaktu saya baru memeluk Islam saya mengikut cara wanita-wanita tua Turki dan Morocco berpakaian. Say pakai kot panjang yang biasa—dan ugh—itu memang bukan diri saya yang sebenar. Saya rasa tak terjamin lebih-lebih lagi bila orang berkata, ‘Tengok tu, orang Turki bermata biru!’. Saya tak tahu macam mana nak berpakaian.

“Saya tak ramai kawan Muslim. Keluarga suami saya fikir yang saya ni tak sebagus mereka sebab saya bukan orang Morocco . Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk buktikan diri saya pada mereka dan sekarang saya rasa sayalah yang paling mengambil berat tentang mempraktikkan Islam dalam keluarga kami.

“Saya pun tak boleh ingat bila saya mula tertarik untuk pakai Niqab. Tetapi yang pastinya, waktu saya mula peluk Islam, saya memang dah jatuh cinta dengan keindahan Islam. Ia macam span, segala-galanya Islam, Islam, Islam. Selepas beberapa tahun perasaan itu berkurangan tapi saya masih nak lagi, nak buat sesuatu yang lebih besar untuk Allah. Bila tengok wanita pakai Niqab, sesuatu dalam diri saya tersentuh. Saya bagi tahu suami saya yang saya nak pakai Niqab juga. “Awak dah hilang akal ke?” dia tanya saya. Suami saya tak suka perubahan itu tapi perasan saya untuk pakai Niqab masih kuat.

“Memakai Niqab bukan kerana malu dengan kewanitaan atau kerana ditindas. Ia hanya cara untuk membuktikan kasih sayang pada Tuhan”

“Salahlah siapa yang kata dengan memakai Niqab, saya bukan sebahagian dari masyarakat. Bila anda berjalan atau pergi membeli belah, berapa banyak kali anda berhubung dan bersembang dengan orang lain walau tak pakai Niqab?. Bukannya kamu cakap dengan semua orang yang kamu jumpa. Pernah seorang wanita cakap dengan saya “Saya tak boleh nak bersembang dengan kamu sebab Niqab kamu tu,” tapi saya fikir, “sebelum ni pun pernah ke kita bersembang?”

“Saya pernah melawak yang saya simpan pistol dan bom di sebalik Niqab saya. Itu masa saya masih suka melawan dan menjawab balik bila orang suka memberi komen tentang saya. Sebahagaian dari sebabnya ialah kerana mereka tidak melihat kita sebagai manusia biasa. Jadi bila kita jawab balik mereka akan terkejut. Saya rasa saya kena cuba didik orang yang tidak faham ni.”

“Ada orang yang fikir bahawa orang yang peluk Islam ni sekadar mencari apa-apa agama sahaja. Kalau betullah anggapan itu saya akan pilih agama yang lebih senang untuk dianuti dan dipraktik. Islam agama yang indah dan cantik tapi ia tak sentiasa mudah. Kita kena banyak berlawan dengan diri sendiri.”

Rabu, 7 Disember 2011

Kelembutan Hati Rasulullah SAW....


Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis, bahawa Abdullah ibn Yusuf telah menceritakan kepada kami, Ibn Wahb telah menceritakan kepadaku, Yunus telah menceritakan kepada kami daripada Ibn Shihab, Urwah telah menceritakan kepadaku, bahawa Aisyah r.a. telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Adakah kekanda pernah mengalami suatu hari yang lebih dasyat daripada hari Uhud (Perang Uhud)?" Nabi menjawab, "Sesungguhnya aku pernah menemui segolongan daripada kaumku. Hari yang paling teruk ialah pada hari Aqabah (Perjanjian Aqabah) sewaktu aku mengemukakan seruan kepada Ibn 'Abd Yalil Ibn 'Abd al-Kilal, dia tidak mahu menyahut seruanku.

Lalu aku berjalan dalam keadaan dukacita menuju ke satu sudut. Tanpa aku sedari aku telah sampai Qarnal Tha'alib. Ketika aku mendongak ke langit, tiba-tiba awan telah menaungiku. Aku melihat Jibril a.s. berada di dalamnya. Ia pun memanggilku dan berkata, "Sesungguhnya Allah SWT telah mendengar percakapan kaum tuan dan keengganan mereka menerima tuan. Tuhan telah mengutus malaikat penjaga gunung kepada tuan supaya tuan memerintah mereka melakukan apa sahaja yang tuan kehendaki!"

Malaikat penjaga gunung memanggilku sambil memberi salam kepadaku dan berkata, "Wahai Muhammad! (Kemudian ia berkata seperti kata-kata Jibril), terserah kepada tuan, apa yang tuan kehendaki, kalau tuan mahu saya boleh himpit mereka dengan dua buah gunung."

Nabi SAW bersabda, "Tidak! Aku hanya berharap Tuhan akan melahirkan seorang keturunan mereka yang hanya menyembah Allah SWT semata-mata, tidak mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu apa pun."
(HR. Bukhari)

Ahad, 27 November 2011

5 Perkara menghalalkan usaha anda di sisi Allah SWT...


1- Jangan menunda sesuatu kewajipan terhadap Allah SWT dan jangan menguranginya.

2- Usaha anda jangan mengganggu makhluk lain.

3- Tanamkan niat dalam usaha anda untuk menjaga kehormatan anak keluarga bukan semata-mata mengumpul kekayaan.

4- Jangan memaksa diri dalam usaha.

5- Jangan menganggap rezeki berhasil melalui usaha yang anda lakukan tetapi rezeki yang dapat dicapai adalah anugerah Allah SWT secara langsung, kerana usaha anda adalah penyebab semata-mata.

Kitab Tanbihul Ghafilin. Jilid 1 & 2. M/S : 701.

Jumaat, 18 November 2011

Wanita Pertama Masuk Syurga...

Wanita Pertama Masuk Syurga
Saydatina Fatimah az-Zahra adalah satu-satunya puteri Rasulullah s.a.w yang menghasilkan zuriat untuk meneruskan ksinambungan keturunan baginda. Saydatina Fatimah berkahwin dengan Saydina Ali bin Abi Thalib dan dikurniakan dua putera iaitu Hassan dan Hussein.

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w membicarakan mengenai kenikmatan syurga dan orang-orang yang tinggal di dalamnya. Lalu baginda ditanya oleh Fatimah, siapakah wanita pertama masuk ke syurga. Maka baginda pun menjelaskan : “Wahai anakanda! Wanita pertama yang akan masuk ke syurga ialah Mutiah. Dia hanyalah perempuan biasa dan kehidupannya amat sederhana.”

Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka air muka puteri Rasulullah itu terus berubah. Lalu dikatakanya kepada ayahandanya : “Lantas, siapakah wanita itu wahai ayahandaku? Macamana halnya dan bagaimana amalannya sehingga dia dapat terlebih dahulu masuk ke syurga daripada anakanda?”. Lalu Rasulullah menyarankan puterinya itu untuk menziarahi rumah wanita tersebut yang terletak di Jabal Uhud.

Saydatina Fatimah kemudian keluar untuk mencari wanita yang dikatakan akan masuk ke syurga terdahulu daripadanya itu. Setibanya di rumah wanita tersebut, beliau pun mengetuk pintu rumah tersebut. Wanita dari dalam rumah keluar sambil bertanyakan hajat kedatanganya, tetapi tidak pula dijemput Saydatina Fatimah masuk ke dalam rumahnya.

Saydatina Fatimah menyatakan bahawa kedatanganya adalah untuk berjumpa dan berkenalan denganya. Wanita itu menjawab : “Terima kasih puan. Tetapi saya tidak dapat membenarkan puan masuk kerana suami saya tiada di rumah. Nanti saya minta izin daripadanya apabila dia balik. Silalah datang pada esok hari.”

Saydatina Fatimah pulang ke rumah dengan perasaan sedih dan hampa kerana tidak dapat bercakap panjang dengan wanita itu. Keesokan harinya, Saydatina Fatimah datang lagi bersama dengan anaknya Hassan.

Sebaik sahaja tiba di rumah itu, wanita dari dalam rumah tersebut membuka pintu. Namum belum sempat Saydatina Fatimah dipersilakan masuk, wanita tersebut terlihat anak lelaki puteri Rasulullah itu turut ada bersama, lantas wanita tersebut melarang Fatimah untuk menjejak masuk ke dalam rumahnya. Saydatina Fatimah menjelaskan bahawa kanak-kanak lelaki tersebut adalah anak lelaki nya, Hassan. Lalu wanita tersebut berkata : “Maaf puan, saya meminta izin daripada suami saya hanya untuk puan sahaja masuk, tidak termasuk budak lelaki ini sekali.”

Saydatina Fatimah serba salah, kerana jikalau hendak pulang ke rumah semula jauh. Hendak masuk ke rumah wanita tersebut, tidak mendapat keizinan dari wanita tersebut. Akhirnya Saydatina Fatimah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah juga.

Keesokan harinya, Saydatina Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua puteranya Hassan dan Hussein. Namun kehadiran Saydatina Fatimah kali ini benar-benar membuatkan wanita itu terkejut besar apabila mendapati ada seorang lagi budak lelaki yang belum diminta keizinan dari suaminya untuk masuk. Saydatina Fatimah terpaksa pulang dengan hampa untuk kali yang ketiga.

Setelah si suami pulang, wanita itu memberitahu tentang kehadiran puteri Rasulullah bersama-sama dengan cucu baginda sekali iaitu Hassan dan Hussein. Si suami sangat terkejut dan berkata : “Kenapa awak tidak membenarkan mereka masuk? Bukankah Saydatina Fatimah itu puteri Rasulullah s.a.w dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Sepatutunya awak membenarkan ,mereka masuk, kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung kepada keredhaanya (Rasulullah s.a.w). Selepas ini, jika merek datang ke sini lagi dengan membawa apa pun siapa pun, terimalah dengan sebaik-baiknya dan hormatilah mereka dengan sebagaimana yang patut abgi darjat mereka.”

Kemudian wanita itu menjawab : “Baiklah. Tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak.”

Pada keesokan harinya, Saydatina Fatimah datang semula ke rumah tersebut dengan membawa kedua-dua anaknya. Mereka dilayan dengan sewajarnya dan mereka memulakan perbualan. Tiada apa yang menarik perhatian Saydatina Fatimah tentang perempuan itu. Sedang asyik berbual-bual, tiba-tiba wanita tersebut bangun dan segera mempresiapkan dirinya. Dengan penampilan mengghairahkan, wanita itu berdiri di muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menanti kedatangan seseorang. Di sebelah tangannya memegang tongkat dan sebelah lagi memegang segelas air minuman. Wanita itu juga menyingsingkan kainnya dengan hujung jarinya sehingga menampakkan betis dan sedikit pehanya beserta wajah tersenyum manis.

Wanita itu langsung tidak menghiraukan Saydatina Fatimah, seolah-olah beliau tidak ada di dalam rumah tersebut. Fatimah berasa kurang senang dengan perlakuan wanita itu, lantas Fatimah bertanya kepada wanita dan inginkan penjelasan mengapa wanita tersebut berpenampilan sebegitu. Wanita itu mnjelaskan : “Puan, maafkan saya kerana tidak dapat melayan puan dengan sebaik-baiknya. Sebenarnya saya sedang menunggu suami saya yang akan pulang pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.”

Lantas Saydatina Fatimah bertanya : “Apa gunanya tongkat dan air minuman itu wahai saudari?”.”Sekiranya suami saya dahaga sebaik sahaja sampai di rumah, saya akan segera menghulurkan minuman ini kepadanya. Tongkat ini pula untuk memudahkan dia untuk memukul saya sekiranya dia tidak berpuas hati terhadap layanan yang saya berikan kepadanya.” jawab wanita itu. Saydatina Fatimah bertanya lagi : “Kenapa pula puan menyelakkan kain sehingga menampakkan aurat? Bukankah perbuatan seperti itu haram?”

Jawab wanita itu : “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini, tentulah menambahkan nafsu syahwatnya yang memudahkan kepada maksudnya.” Saydatina Fatimah mendengar penjelasan dari wanita itu dengan penuh hairan lantas berkata kepada dirinya sendiri : "Wanita pertama yang akan masuk ke syurga adalah Mutiah. Dia hanyalah seorang wanita biasa dan kehidupannya amat sederhana"

Fatimah pun pulang ke rumah dan terus menemui ayahandanya. Beliau berkata : “Anakanda berasa sungguh sedih kerana tidak dapat meniru dan mengamalkan tingkah laku yang ayahanda ceritakan padaku.” Rasulullah s.a.w tersenyum mendengar rintihan Saydatina Fatimah . Faham dengan perasaan puterinya itu, baginda lantas berkata : “Anakanda, janganlah terlalu bersusah hati. Wanita yang anakanda temui itu ialah wanita yang bakal memimpin dan memegang tali kerendaan tunggangan anakanda ketika masuk ke syurga. Sebab itulah dia masuk terlebih dahulu.” Mendengar penjelasan itu barulah Saydatina Fatimah tersenyum kembali.

Jumaat, 15 April 2011

Cinta Sebelum & Selepas Kawin ; Mana lebih Baik?

Cinta itu adalah suatu perasaan yang dikurniakan oleh ALLAH kepada setiap insan. Cinta mendorong manusia untuk terus hidup dan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang merupakan fitrah. Tetapi Islam memberikan garis panduan agar kehidupan mereka terpelihara daripada kerosakan dan menjamin keamanan mereka.

Cinta yang didorong oleh rasa takut kepada ALLAH akan membawa kebaikan dan kebahagian kepada manusia. Sebaliknya cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal. Malah akan menyebabkan manusia rasa gundah gulana dan kecewa. Cinta yang sejati dan agung hanyalah untuk ALLAH.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka." – Riwayat al-Bukhari.

Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.

Al-Sindi r.h berkata:
"Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari. " (Rujuk: Nota kaki Sunan Ibn Majah).

Konsep cinta dalam Islam sangat unik, iaitu menyintai sesuatu atau seseorang hendaklah kerana mencari keredhaan ALLAH dan menurut peraturan syarak. Islam mengajar kita bahawa perkahwinan adalah ikatan yang suci, tepat dan satu-satunya cara yang dibenarkan oleh syarak dalam menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita.

Jika seorang lelaki benar-benar ingin mengambil seorang wanita menjadi isteri, dia perlu melihat wanita itu dengan keizinan wali dan ditemani mahram.

Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a:
"Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya." – Riwayat al-Bukhari.

Berhubung dengan batasan aurat bakal isteri, jumhur ulama berpendapat, hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tangan hingga ke pergelangan. Al-Auza'i berpendapat, dibolehkan melihatnya kecuali aurat, Ibn Hazm berkata, boleh melihat bahagian depan dan belakang wanita itu.

Menurut Ibn Qayyim, terdapat salah satu riwayat Imam Ahmad yang membenarkan bakal suami melihat apa yang zahir daripada tubuh bakal isteri seperti leher, betis dan sebagainya. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Qudaamah dan al-Hafiz Ibn Hajar r.h. (Tahziib al-Sunan, ms: 25 – 26, al-Mughni, jil: 7, ms: 454 dan Fath al-Baari, jil: 11, ms: 78).

Antara pendapat ulama tentang batasan aurat bakal isteri ialah:
Menurut Imam Syafie, tidak boleh melihat wanita yang ingin dikahwini tanpa menutup kepala (memakai hijab). Dia boleh melihat wajah dan tangan hingga ke pergelagan sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinannya. (Al-Haawi al-Kabiir, jil: 9, ms: 34).

Imam al-Nawawi berpendapat dalam Raudhah al-Tolibin dan 'Umdah al-Muftin, jil: 7, ms: 19 – 20, sunat melihat bakal isteri agar seorang lelaki itu tidak menyesal setelah berkahwin dengannya… dibolehkan melihat berkali-kali dengan izinnya atau tanpa keizinannya. Jika masih tidak berpuas hati, dia dibenarkan mengutus wanita lain untuk melihatnya dan menerangkan sifat-sifat wanita itu kepadanya. Wanita juga dikehendaki melihat bakal suami agar apa yang disukai oleh bakal suami, disukai juga oleh dirinya terhadap bakal suami itu.

Abu Hanifah pula berpendapat, dibolehkan melihat wajah, tangan dan kaki. (Bidayatul Mujtahid wa Nihaayatul Muqtasid, jil: 3, ms: 10). Pendapat ini juga dipersetujui oleh Ibn Rushd.

Jumhur ulama membenarkan melihat wajah dan tangan kerana wajah merupakan sumber kecantikan seorang wanita dan tangan pula boleh menggambarkan tubuhnya sama ada langsing atau sebaliknya.

Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak Negara Islam diambil dari budaya barat, ia mempunyai banyak kesan negatif berbanding positif. Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah. Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan.

Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka.

Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.

Isnin, 14 Mac 2011

BERAPAKAH NILAI DIRI KITA?

Berapakah Nilai Sebatang Besi

Seberat 5 Kilogram

Sebatang Besi RM 5.00

Dituang menjadi tapak kuda RM 35.00

Dijadikan Jarum RM 355.00

Dibentuk menjadi mata pisau RM 2,285.00

Dicairkan menjadi spring jam RM 250,000.00

Siapakah Kita dan apakah yang menyebabkan kita lebih bernilai di Akhirat lebih dari Malaikat ?

Segumapal Tanah RM………

Setitik Air Mani RM………

Seorang pelajar RM………

Seorang Ulamak RM……….

Seorang Khalifah Allah RM……….

Seorang Doktor RM………..

Seorang Loyar Buruk RM………..

Seorang Penjenayah RM………..

Seorang Pecah Amanah RM………..

Seorang Pencuri RM………..

Seorang Banduan RM………..

Seorang Penagih Dadah RM………

Seorang Pelacur / GRO RM………

Siapakah kita di sisi Allah dan Rasulnya……

Apa yang Allah nilaikan hanya :

1-Amal Soleh.

2-Nilai Rohani Yang Mulia.

3-Pahala yang diusahakan.

4-Pengurbanan yang dikurbankan untuk Allah.

5-Keikhlasan ,Ketaqwaan dan Islam yang kita anuti.

Kita manusia yang lebih mulia dari Malaikat

Bukan manusia yang lebih hina dari Binatang dan Iblis..

Insya Allah…. Amin Ya Rabbal Alamin.